Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
10 Oktober 2008
KERAJAAN DIGESA TURUNKAN HARGA MINYAK, HAPUS SURCAJ
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menggesa kerajaan pimpinan Abdullah & Najib menurunkan harga runcit petrol dan diesel di negara ini ke paras di bawah RM 2.00 selaras dengan penurunan harga minyak mentah petroleum kepada AS$88 setong 9 Oktober lalu.
Kenaikan harga runcit petrol sebanyak 78 sen Jun lalu cukup memberi tekanan kepada kehidupan rakyat. Kenaikan tersebut juga menyebabkan harga barangan makanan dan keperluan harian naik mendadak. Walaupun diberi penurunan berjumlah 25 sen pada Ogos dan September lalu, ianya terlalu kecil malah tidak memberi kesan kepada harga barang makanan dan keperluan harian.
AMK turut menyelar keputusan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar supaya surcaj yang dikenakan ke atas tambang bas ekspress dan bas henti-henti diteruskan walaupun ia sepatutnya tamat 15 Oktober ini. Langkah tersebut dilihat sebagai menyebelahi pihak pengusaha tanpa menghiraukan kesusahan yang ditanggung oleh rakyat di negara ini sebagai pengguna. Walaupun pelbagai alternatif yang boleh diambil kerajaan, kerajaan seolah-olah sengaja membebankan rakyat.
AMK kesal kerana dalam keadaan rakyat semakin menderita akibat kenaikan harga barang dan kos kehidupan, kerajaan dilihat masih berlengah untuk menurunkan harga runcit petrol dan diesel. Pengurangan harga runcit petrol dan diesel di negara ini ke paras di bawah RM 2.00 diyakini boleh membantu menyelesaikan kedua-dua konflik tersebut.
AMK yakin dengan komitmen kerajaan baru Pakatan Rakyat yang akan direalisasikan tak lama lagi, kehidupan rakyat akan lebih terbela dan terjamin berbanding kerajaan UMNO/BN tak kira siapa yang memimpinnya.
Hasmuzair Hassan
Timbalan Pengerusi
Biro Hal Ehwal Kepenggunaan AMK Malaysia
merangkap Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia