16 SEPT: Bukti Anwar Bohong?

Anwar Berbohong Kepada Rakyat Malaysia, Kata Pemimpin Parti Politik

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) Kalangan pemimpin parti politik menganggap kegagalan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengotakan janji menubuhkan kerajaan hari Selasa membuktikan bahawa Ketua Pembangkang itu selama ini telah membohongi rakyat Malaysia.

Mereka juga berpendapat kegagalan itu jelas membuktikan bahawa Anwar adalah seorang pemimpin yang tidak berkredibiliti, suka berdolak-dalik dan tindak tanduknya selama ini hanya menyusahkan rakyat dan negara.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam meminta rakyat memberi tumpuan kepada kerja daripada leka mendengar sandiwara Anwar mahu menubuhkan kerajaan persekutuan yang baru.

Mohd Ali berkata sudah sampai masanya, masyarakat melupakan sandiwara bekas Timbalan Perdana Menteri itu kerana ia membuang masa sahaja.

“Berlalunya 16 Sept hari ini, jelas apa yang disebut (menubuhkan kerajaan baru) selama ini adalah sandiwara yang tidak menjadi kenyataan,” katanya.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan tindakan Anwar mendakwa mempunyai senarai nama anggota Parlimen yang akan melompat parti sebagai satu pembohongan.

“Bulan ini bulan baik, bulan beramal, buatlah perkara yang baik. Janganlah buat perkara yang menimbulkan suasana dan keadaan yang tidak baik seakan-akan mahu tarik kepercayaan masyarakat,” kata Shafie, yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib pula berkata kegagalan Anwar membentuk kerajaan baru Pakatan Rakyat pada hari ini membuktikan beliau merupakan pemimpin yang suka menyusahkan rakyat dan menimbulkan huru-hara.

Beliau berkata tindakan Anwar bukan sahaja menjejaskan pertumbuhan ekonomi, tetapi lebih buruk lagi ia menimbulkan suasana tidak menentu yang menggugat kemasukan pelabur ke negara ini.

“Gangguan yang dilakukan oleh Anwar seperti kegelojohannya yang tetap mahu merampas kuasa secara tidak bermoral tetapi usaha itu gagal membuktikan Anwar adalah seorang individu yang tamak kuasa,” katanya.

Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali AlHabshee berkata apa yang berlaku jelas membuktikan Anwar berbohong kepada rakyat Malaysia terutama tentang dakwaan kononnya 31 orang anggota parlimen Barisan Nasional (BN) akan menyertai Pakatan Rakyat.

Beliau berkata sudah sampai masanya kerajaan mengambil tindakan menghentikan pembohongan Anwar menerusi teorinya yang tidak masuk akal kerana jika dibiarkan berlarutan ini akan mengancam kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Rakyat tidak sepatutnya melayan dan mempercayai segala taktik Anwar. Dan hari ini ternyata Anwar berbohong dan jelas beliau merupakan seorang pemimpin yang suka berdolak dalik,” katanya.

Sementara itu, MCA mencabar Anwar supaya mendedahkan nama anggota Parlimen BN yang didakwa akan melompat parti menyertai Pakatan Rakyat.

“Jika beliau ada nama berkenaan, umumkannya sekarang. Siapakah individu berkenaan. Kenapa berahsia sangat,” kata Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting.

Ong, yang terdahulu mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat di Wisma MCA di sini, berkata Anwar perlu berhenti daripada membuat spekulasi tentang pembelotan politik dan dakwaan mempunyai cukup majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu turut menyifatkan dakwaan Anwar kononnya 31 anggota Parlimen BN akan melompat parti sebagai satu sandiwara.

“Anwar telah memperkatakan perkara ini berulang kali dan beliau sepatutnya berjumpa Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan baru atau mengemukakan usul tidak percaya terhadap kerajaan jika benar beliau mempunyai 31 orang angota parlimen BN yang akan lompat parti,” katanya.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk V.K Liew membidas Anwar kerana membohongi rakyat tentang penubuhan kerajaan baru hari ini.

Sambil menyatakan tindakan Anwar merupakan satu penipuan dan memandang rendah kebijaksanaan rakyat MAlaysia, beliau berkata: “Anwar dan Pakatan Rakyat telah menjatuhkan maruah gabungan parti itu dan menukar kebenaran kepada pembohongan.”

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata majoriti rakyat mahukan perubahan kerajaan.

“Sama ada ia berlaku pada 16 Sept, esok ataupun sebelum pilihan raya umum akan datang, ia tidak menjadi hal… apa yang penting orang ramai inginkan perubahan,” katanya.

Di PULAU PINANG, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan dakwaan Anwar mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru sebagai helah politik untuk mewujudkan suasana tidak kondusif di negara ini.

Advertisements
This entry was posted in artikel and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s